Workshop Seterusnya: Sabtu, 22 Ogos, 8-10 malamBina Landing Page + Lead Capture Guna Claude Code
Semua sumber
Multi-ToolGuides

Cara Buat & Edit Skill Sendiri — Claude Code dan Codex, macOS dan Windows

Panduan langkah demi langkah untuk orang yang belum pernah buat fail SKILL.md. Satu fail yang sama berfungsi untuk Claude Code dan Codex — cuma folder berbeza. Termasuk jerangkap TextEdit dan Notepad yang buat ramai orang tersangkut.

Yusuf Suhair

Yusuf Suhair

4 min baca·

1 — Faham dulu: skill tu apa

Satu folder, satu fail

Skill bukan plugin dan bukan kod. Ia satu folder dengan satu fail teks bernama SKILL.md di dalamnya. Itu sahaja. Tiada pemasangan, tiada pendaftaran — letak fail di tempat betul, alat itu jumpa sendiri.

skills/
  code-review/
    SKILL.md        <- fail anda
  deploy-production/
    SKILL.md

Fail yang sama, dua alat

Claude Code dan Codex guna format SKILL.md yang serupa — medan name dan description yang sama. Tulis sekali, salin ke kedua-dua folder, kedua-dua alat guna. Yang berbeza hanya lokasi folder.

CLAUDE CODE
  Semua projek   ~/.claude/skills/nama-skill/SKILL.md
  Satu projek    .claude/skills/nama-skill/SKILL.md

CODEX
  Semua projek   ~/.codex/skills/nama-skill/SKILL.md
  Satu projek    .agents/skills/nama-skill/SKILL.md

WINDOWS
  Tanda ~ bermaksud C:\Users\NamaAnda

Letak dalam ~/ = anda dapat di semua projek. Letak dalam folder projek = sesiapa yang clone repo itu dapat sama. Untuk SOP pasukan, pilih yang kedua.

Kenapa description paling penting

Alat tak baca isi skill anda sepanjang masa — itu akan penuhkan context. Ia baca nama dan description sahaja dahulu, kemudian baru buka isi penuh bila description padan dengan kerja yang anda minta. Maknanya: description lemah = skill anda tak pernah hidup, walaupun isinya bagus.

2 — macOS: buat skill pertama anda

Cara Terminal — paling laju, tak pernah gagal

Buka Terminal (tekan Cmd + Space, taip Terminal). Salin baris ni, tukar nama-skill kepada nama anda. Baris terakhir buka fail dalam TextEdit terus.

mkdir -p ~/.claude/skills/nama-skill
touch ~/.claude/skills/nama-skill/SKILL.md
open -e ~/.claude/skills/nama-skill/SKILL.md

Untuk Codex, tukar .claude kepada .codex pada ketiga-tiga baris.

Cara Finder — kalau tak biasa Terminal

Folder bermula dengan titik adalah folder tersembunyi — Finder sorokkan secara lalai. Tekan Cmd + Shift + titik untuk paparkannya. Kemudian: Go > Home, masuk .claude, masuk skills, klik kanan > New Folder, namakan skill anda.

Tekan Cmd + Shift + titik sekali lagi untuk sorok balik bila sudah siap.

Jerangkap TextEdit — baca sebelum simpan

TextEdit simpan sebagai Rich Text (.rtf) secara lalai. Fail RTF nampak betul di skrin tetapi mengandungi kod format tersembunyi, dan skill anda tak akan berfungsi. Sebelum menaip apa-apa: menu Format > Make Plain Text (Shift + Cmd + T). Baru simpan.

Lagi selamat: guna VS Code, Sublime Text atau Zed. Editor kod tak pernah tambah format tersembunyi.

3 — Windows: buat skill pertama anda

Cara PowerShell — paling laju, tak pernah gagal

Tekan butang Windows, taip PowerShell, buka. Salin baris ni, tukar nama-skill kepada nama anda. Baris terakhir buka fail dalam Notepad terus.

mkdir $HOME\.claude\skills\nama-skill
New-Item $HOME\.claude\skills\nama-skill\SKILL.md -ItemType File
notepad $HOME\.claude\skills\nama-skill\SKILL.md

Untuk Codex, tukar .claude kepada .codex pada ketiga-tiga baris.

Jerangkap File Explorer — folder bertitik

File Explorer selalunya menolak nama folder yang bermula dengan titik — anda taip .claude, ia bagi ralat atau buang titik itu. Penyelesaian: taip nama dengan titik di hujung sekali, .claude. dan Windows akan buang titik hujung itu sendiri, tinggal .claude yang betul.

Kalau masih degil, guna PowerShell di atas. Ia tiada masalah ini langsung.

Jerangkap Notepad — punca nombor satu skill tak jalan

Notepad diam-diam tambah .txt pada nama fail anda. Fail anda jadi SKILL.md.txt dan alat itu tak akan jumpa. Dalam kotak Save As: tukar Save as type kepada All Files (*.*), baru taip SKILL.md. Tukar Encoding kepada UTF-8.

File name:      SKILL.md
Save as type:   All Files (*.*)    <- WAJIB tukar
Encoding:       UTF-8

Untuk nampak sambungan fail sebenar: File Explorer > View > Show > File name extensions. Hidupkan ini sekali dan biarkan.

4 — Isi fail SKILL.md

Template kosong — salin dan ubah

Tiga sengkang di atas dan di bawah adalah wajib. Dua medan sahaja diperlukan: name dan description. Selebihnya arahan biasa dalam bahasa mudah.

---
name: nama-skill
description: Guna bila [kerja apa]. Sebut juga perkataan sebenar yang user taip.
---

# Nama Skill

Satu ayat: skill ni buat apa.

## Langkah

1. Langkah pertama.
2. Langkah kedua.
3. Langkah ketiga.

## Output

Apa yang patut dipulangkan, dalam bentuk apa.

Jangan sekali-kali [sempadan yang jelas].

Guna nama yang sama untuk folder dan medan name — senang cari nanti.

Description: lemah lawan kuat

Ini satu-satunya baris yang menentukan sama ada skill anda hidup atau mati. Tulis bila ia patut aktif, bukan apa ia buat. Sebut perkataan sebenar yang anda akan taip.

LEMAH
  description: Membantu dengan code review
  -> terlalu kabur, tak pernah aktif

KUAT
  description: Guna bila menyemak diff, branch atau PR
    sebelum merge. Juga bila user taip "review PR ni",
    "check code ni", atau "boleh merge tak".
  -> ada pencetus jelas, aktif sendiri

Tulis pendek, arahan tegas

Skill yang berkesan pendek — 20 hingga 60 baris. Ayat arahan, bukan penerangan. Nombor bila susunan penting. Tutup dengan satu baris sempadan: apa yang skill ni TIDAK patut buat. Baris itu menghalang alat daripada terlebih buat kerja.

Kalau skill anda melebihi 100 baris, kemungkinan besar ia dua skill yang tercampur.

5 — Uji dan selesaikan masalah

Cara tahu ia berjaya dimuat

Skill dibaca semasa sesi bermula — sesi yang sudah terbuka tak nampak fail baru. Tutup, buka semula, kemudian minta kerja yang description anda sebut. Kalau ia aktif sendiri tanpa anda sebut nama skill, description anda betul.

cat ~/.claude/skills/nama-skill/SKILL.md

Windows PowerShell: type $HOME\.claude\skills\nama-skill\SKILL.md

Skill langsung tak muncul

Semak tiga perkara ikut susunan ni. Satu daripadanya hampir pasti puncanya.

1. Nama fail betul-betul SKILL.md?
   Huruf besar semua, dan .md bukan .txt atau .rtf

2. Ada dalam folder sendiri?
   skills/nama-skill/SKILL.md   BETUL
   skills/SKILL.md              SALAH

3. Sudah mula sesi baru selepas simpan fail?

Fail ada tapi skill tak pernah aktif

Failnya dijumpai, cuma tak pernah dipilih. Puncanya hampir selalu description. Tulis semula: sebut bila ia patut aktif dan masukkan perkataan sebenar yang anda taip semasa kerja itu datang.

Ujian cepat: baca description anda sahaja, tanpa isi. Boleh orang lain teka bila ia patut hidup? Kalau tak boleh, alat itu pun tak boleh.

Frontmatter rosak

Blok tiga sengkang mesti sempurna: tiga sengkang di baris paling atas sekali tanpa ruang kosong sebelumnya, dan tiga sengkang penutup. Guna ruang kosong biasa, jangan guna Tab. Kalau description panjang, letak dalam satu baris atau indent baris sambungan.

---
name: nama-skill
description: Guna bila ...
---

^ tiga sengkang, bukan tiga titik atau garis panjang

Copy-paste dari Word atau WhatsApp boleh tukar sengkang biasa jadi sengkang panjang. Taip semula tanda itu dalam editor kod anda.